Hospital Teluk Intan dibina untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk di sekitar Hilir Perak yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 667 batu persegi atau 1727 km persegi. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk di daerah ini ialah lebih kurang 190, 868 orang.
Hospital ini dibina bagi menggantikan bangunan lama hospital Daerah di Jalan Bandar, Teluk Intan di mana ia telah dibina lebih 92 tahun yang lalu bagi menyediakan kemudahan asas perubatan. Disebabkan lokasi hospital lama sering dilanda banjir serta kawasan yang sempit untuk aktiviti pembesaran dan bagi memenuhi keperluan semasa dengan peningkatan bilangan pesakit, maka telah dicadangkan supaya hospital ini dibina dengan segera. Hospital Teluk Intan terletak di Jalan Changkat Jong – Ipoh. Kira-kira 4 km dari Bandar Teluk Intan.
Hospital Teluk Intan meliputi kawasan seluas 65 ekar. Sebelum ini tanah tersebut diusahakan sebagai ladang getah. Pada penghujung 1982, projek pembinaan hospital ini dimulakan secara “Turn-key”. Syarikat Leighton of Australia telah Berjaya di dalam tender kontrak dengan nilai RM94.3 juta. Kerja-kerja pembinaan hospital ini telah dimulakan pada 3 Januari 1984 dan telah siap dibina pada 2 Februari 1987. Secara rasmi, hospital ini telah disiapkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 28 Mac 1987.
Jumlah kos hospital ini ialah kira-kira RM110 juta. Hospital ini juga mula memberikan perkhidmatan (pesakit luar dan dalam) pada 25 April 1987. Hospital Teluk Intan telah dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 25 Ogos 1987.
Hospital Teluk Intan memberikan perkhidmatan kepada penduduk Daerah Hilir Perak. Manakala perkhidmatan kepakaran hospital ini meliputi Daerah Hilir Perak, Sabak Bernam, Batang Padang, Selatan Manjung dan Daerah Perak Tengah. Hospital ini juga bertindak sebagai hospital rujukan kepada Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Hospital Tapah, Hospital Slim River dan sebahagian dari Hospital Manjung dan Hospital Changkat Melintang.